Catatan Misi Kemboja (I)





CATATAN PERJALANAN (Bahagian I)
MISI IBADAT QURBAN, BANTUAN KEMANUSIAAN MELAYU MUSLIM CHAMPA


Saya berpeluang mengikuti Misi Ibadat Qurban dan Bantuan Kemanusiaan Melayu Muslim Champa anjuran Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama Pertubuhan Kegiatan Dakwah Sekolah-Sekolah (PEKDIS) pada 18-21 November 2010 yang lalu mewakili MPSM Johor bersama Tuan Haji Ayob Jantan dan Haji Mohamad Mahadi. . Rombongan seramai 28 orang diketuai oleh Tuan Haji Markom bin Giran, Pengarah Pelajaran Johor dan turut disertai oleh Tuan Haji Sufaat Tumin, Mantan Pengarah Pelajaran Johor..

Penerbangan melalui LCCT Sepang dibahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan 1 diketuai oleh Haji Markom bertolak pada 18 November jam 7.00 pagi manakala saya dalam kumpulan 2 diketuai Haji Sufaat jam 3.00 petang hari yang sama. Ustaz Omar Salleh dari JPNJ bertindak sebagai penyelaras program.

Alhamdulillah, kami tiba di LT Antarabangsa Phnom Penh jam 4.50 petang dan disambut oleh Ustaz Abd Samad Yusof dan Ustaz Rashidi dari Yayasan Al Rahmah Kemboja. Semasa pemeriksaan imigresen di LTAPP Haji Ishak Mahbob dari BTPNJ yang membawa bersama sekotak besar mengandungi surah-surah yassin untuk disumbangkan di sana ditahan oleh pegawai imigresen kemboja dengan alasan surah yassin tidak boleh dibawa masuk tanpa kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri Kemboja. Setelah dijelaskan dan perbincangan antara Haji Sufaat dengan pegawai berkenaan akhirnya kotak surah yassin berkenaan dibenarkan dibawa masuk.

Dalam perjalanan menggunakan bas ke tempat penginapan kami ditaklimatkan berkaitan aturcara program oleh Ustaz Samad seorang anak muda berumur 27 tahun lulusan Universiti Madinah yang mengetuai Yayasan Al Rahmah Kemoja. Anak muda ini kelihatan amat berjiwa besar untuk membangunkan masyarakat kemboja melalui medium pendidikan. Kami juga sempat singgah di sebuah pekan untuk memberi peluang rakan-rakan menukar mata wang dan membeli perkhidmatan talian pra bayar. Negara Kemboja ini menggunakan mata wang Real (R) tetapi dalam banyak urusan menggunakan dollar Amerika (USD). Nilai tukaran wang bagi setiap USD1 ialah RM3.20

Secara ringkas, Kerajaan Kemboja merupakan sebuah negara di Asia Tenggara dan bersempadankan Thailand di barat, Laos di timur, Vietnam di timur dan Teluk Siam di selatan. Negara yang mempunyai jumlah penduduk 13 juta ini beribu negara di Phnom Penh dan mendapat kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1949. Kemboja merupakan negara pengganti Kerajaan Khmer yang mengalami zaman kegemilangannya pada adab ke-11 hingga abad ke-14. Pada zaman keemasannya, Khmer berjaya menguasai seluruh Semenanjung Indochina. Agama utama yang diamalkan di Kemboja ialah agama Buddha Thevarada (70%). Agama lain termasuklah Islam (penduduk Cham) (30%) serta animisme di kalangan kaum peribumi. Bahasa yang digunakan ialah bahasa khmer dan merupakan Negara raja berperlembagaan. Raja yang memerintah ialah Putera Norodom Sihamoni dan Perdana Menterinya Hun Sen.

Jam 7.00 malam kami tiba di tempat penginapan dikenali sebagai “Khla Fong Ghost House” – hotel budget la kalau di Malaysia. Alhamdulillah bilik agak selesa juga untuk melepaskan keletihan seharian sebab ada kemudahan kipas dan televisyen.
Selepas menunaikan solat maghrib, kami bergabung dengan kumpulan pertama ke Kampung Khlang Sbek kira-kira 20 km dari tempat penginapan. Kampung penempatan penduduk Islam kemboja ini terletak di mukim Kompong Luong, dalam daerah Sr Ponhealam dan dalam negeri Kandal, Kemboja yang juga terletaknya madrasah kendalian Yayasan Al Rahmah. Kedatangan kami disambut oleh penduduk kampong yang diketuai oleh Junus Ahmad (Ketua Kampong) dan Haji Musa Salleh (Imam Masjid). Sambutan penduduk di sini cukup hebat dengan seluruh penduduk kampong berjumlah 257 keluarga beramai-ramai hadir seolah-olah ada pesta keramaian.

Berdasarkan perbualan dengan Haji Musa yang fasih berbahasa Melayu, kampong ini terletak kira-kira 100 km dari Phnom Penh, kesemua penduduk beragama Islam, mempunyai kemudahan masjid yang berfungsi sebagai pusat komuniti selain sebuah sekolah kelolaan Yayasan Al Rahmah yang beroperasi tanpa pembiayaan pemerintah. Kegiatan ekonomi penduduk di sini ialah bertani (bersawah padi dan menangkap ikan). Rata-rata penduduk di sini hidup dalam kemiskinan. Walaupun hidup tidak semewah kita di Malaysia rata-rata penduduknya peramah dan menghormati tetamu.

Malam itu kami dijamu dengan hidangan tempatan kemboja iaitu nasi putih dengan gulai daging (sebahagian sumbangan lembu yang telah dibuat Qurban pada hari siangnya), daging salai bersama pencicah dan ulam. Sungguh menyelerakan, mungkin kerana tuntutan perut yang memang sudah pastinya lapar. Alhamdulillah.

Malam itu juga rombongan kami mengambil peluang beramah mesra dengan penduduk kampong yang kebanyakannya saling tak tumpah rupa parasnya seperti orang Melayu. Mungkin ada kaitannya dengan susur galur sejarah Melayu Champa suatu ketika dulu. Walaupun hanya beberapa orang yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu termasuk haji Musa yang pernah bekerja di Malaysia ia tidak menjadi halangan untuk beramah mesra. Istilah ‘assalamualaikum’ dan ‘waalaikumsalam’ menjadi penghubung komunikasi. Justeru ustaz Samad, ustaz Rashidi dan haji Musalah yang jadi penterjemah semasa berbual.

Jam 11 malam kami kembali ke rumah penginapan. Malam-malam di sini tiada yang menarik, maklumlah suasana kampong. Waktu di Kemboja lebih awal 1 jam berbanding di Malaysia. Oleh itu waktu subuh di sini jam 4.30 pagi (5.30 pagi Malaysia). Selepas subuh, nasih saya tak baik sebab air hotel terputus. Nasib baik masih ada sebaldi air yang Haji Mohamad Tingalkan untuk saya. Dapatlah mandi ‘ala P Ramlee’…
19 November 2010, jam 7.00 pagi bermulanya misi ibadat qurban. Pada kali JPN membawa 89 ekor lembu yang bakal diagih-agihkan ke beberapa kampong. Ustaz hairozi dari JPN sebelum ini telah membuat tinjauan, menguruskan pembelian lembu dan membuat agihan untuk tujuan Qurban berkenaan.

Lokasi pertama Qurban ialah di Kampung Khlang Sbek yang kami lawati malam tadi. Kamin di sambut sekali lagi oleh Imam Musa dan penduduk kampong. Kali ini jumlah yang hadir lebih ramai dari malam tadi. ( ekor lembu yang akan dikorbankan sudah siap menunggu di hadapan masjid. Sebelum majlis dimulakan kami dihidangkan dengan sarapan pagi – nasi putih dan lauk ayam goring dan sayur. Boleh la untuk alas perut. Manakala air panas kami bancuk sendiri. Kebetulan Ustaz Omar memang dah sedia membawa milo, kopi dan the 3 in 1 dari Malaysia untuk minuman kami.

Dalam ucapannya selepas sarapan pagi, Pengarah Pelajaran Johor mengharapkan program ini dapat diteruskan pada masa akan dating dan mengingatkan ahli rombongan perlunya bersyukur dengan kehidupan yang selesa di Malaysia. Beliau juga mengesyorkan agar PEKDIS menjadikan madrasah Al Rahmah ini sebagai anak angkat dan untuk tujuan berkenaan PEKDIS akan membantu membina 3 bilik air untuk kegunaaan murid dan kariah masjid dengan kos dianggarkan USD1300. Untuk permulaan pada hari ini PEKDIS menyumbang RM1,000.00 untuk tujuan berkenaan dan selebihnya akan diuruskan kemudian. Selain itu JPN juga turut menyumbang membina pam air telaga di Kampung Chenang dengan kos USD300. Inilah antara bantuan kemanusiaan yang dapat dihulurkan untuk membantu rakan seIslam di sini.

Sememangnya bantuan ini amat diperlukan di sini kerana 3 jam saya berada di sini, saya menghadapi kesukaran untuk membuang air kerana tiada kemudahan tandas. Memang patut le kita bina tandas ni. Teringat saya semasa zaman kecil di kampong Batu Pahat pada tahun-tahun 70’an, tandas dengan mangkuk seperti sekarang memang tak ada, yang ada tandas pusing……

Ustaz Samad pula dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada rombongan JPNJ yang sudi membantu kariah di sini dan mereka memang memerlukan bantuan dari sesiapa sahaja untuk memajukan masyarakat Islam di sini khususnya dari aspek pendidikan. Justeru mereka perlukan kos untuk membiayai guru di samping alatan pendidikan yang lain.

Respon dari rakan-rakan juga mengagumkan. Hjh Fauziah dari MGB berjanji untuk mendapatkan bantuan kewangan dari dermawan di BBU Jb dan akan disalurkan melalui PEKDIS manakala Haji Ayub dari MPSM akan menjadikan program ini sebagai rangkaian kemanusian MPSMJ secara berterusan. Beliau dah arahkan saya untuk buat mesyuarat minggu depan. Aiik…boss cepatnya….

Alhamdulillah, pemurahnya rakyat Malaysia. Inilah agaknya manifestasi syukur atas kurniaan Allah yang perlu kita kongsikan dengan saudara-saudara kita di sini. Di sinilah terpancar dan terserlah konsep ukhuwah Islam tanpa mengira perbezaan bahasa, adat budaya dan juga warna kulit.

3 jam di sini diisi dengan aktiviti menyembelih lembu qurban dan 9 ekor lembu dikorbankan pagi ini, di samping pemberian sumbangan kepada anak-anak penghuni madrasah. Bila tenguk anak-anak ini, bersyukur sungguh saya berada di Malaysia, walapun bersekolahan pada tahun 70an dahulu tapi tidaklah sedhaif mereka yang ada sebahagiannya datang ke kelas tanpa memakai kasut. Tetapi dari air muka mereka menampakkan kesungguhan untuk memperoleh ilmu. Hebat sungguh anak-anak ini.
Dalam perbualan saya dengan ustaz Rashidi, penduduk di sini jarang makan daging. Sebelum ini ada juga qurban pada setiap aidil adha tetapi paling-paling pun seekor sahaja dan dagingnya dimasak bersama untuk hidangan bersama. Tahun ini penduduk kampong meriah sekali kerana semua penduduk bukan sahaja dapat menikmati hidangan daging lembu yang dimasak di masjid tetapi semua penduduk juga dapat membawa balik ke rumah. Sedih dengarnya….bertambah keinsafanku…kalau kat Malaysia lebih dari mampu untuk makan daging lembu setiap hari….

Semuanya bersatu di bawah panji-panji Islam sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (al-Hujurat: 10)
Ternyata korban di Kemboja lebih bermakna kerana majoriti penerima daging korban adalah golongan kurang mampu dan daif.

Dalam perbualan saya dengan ustaz Rashidi, penduduk di sini jarang makan daging. Sebelum ini ada juga qurban pada setiap aidil adha tetapi paling-paling pun seekor sahaja dan dagingnya dimasak bersama untuk hidangan bersama. Tahun ini penduduk kampong meriah sekali kerana semua penduduk bukan sahaja dapat menikmati hidangan daging lembu yang dimasak di masjid tetapi semua penduduk juga dapat membawa balik ke rumah. Sedih dengarnya….bertambah keinsafanku…kalau kat Malaysia lebih dari mampu untuk makan daging lembu setiap hari….

Misi korban tamat jam 11.00 pagi dan penduduk kampong meneruskan acara korban berkenaan yang masih belum selesai. Kami perlu beredar untuk ke lokasi yang lain. Ikut perancangan kami perlu menghabiskan lawatan dan acara korban di 2 kampung yang lain hari ini juga.

Dalam perjalanan ke destinasi kedua, sesuatu yang melucukan ialah apabila Hjh Fauzah tak henti-henti memujuk agar kami balik dulu ke rumah penginapan……Sebabnya untuk menunaikan hajat yang tak kesampaian semasa di kampong Khlang Sbek tadi gara-gara tak ada tandas. Akhirnya kami meminta pemandu bas singgah dulu di rumah penginapan untuk tujuan berkenaan.

Dalam perjalanan ke lokasi ke2 iaitu Kampung Cenang di wilayah Champ, kiri kanan jalan dikelilingi dengan sawah padi yang merupakan aktiviti ekonomi penduduk di sini. Perjalanan ke kampong berkenaan mengambil masa 30 minit dari rumah penginapan. Oleh kerana bas tidak dapat masuk ke kampong berkenaan dari jalan utama, rombongan kami terpaksa menaiki lori yang sebelumnya digunakan untuk mengangkut lembu melalui jalan sempit sejauh 6 km. Hj Markom juga turut menaiki lori manakala Hj Sufaat dan isteri menunggang motosikal kapcai salah seorang penduduk di sini. Riuh rendah ahli rombongan yang teruja menaiki lori. Mungkin inilah pengalaman pertama seumur hidup naik lori tapi bagi penduduk di sini ia sudah merupakan pengangkutan tradisi.
Tiba di masjid Kg Cenang, penduduk kampong telah ramai menunggu. Kami disambut oleh penduduk kampong yang diketuai oleh Haji Isa Abdullah selaku ketua kampong. Seperti juga KKS, di sini semua penduduk telah berkumpul lebih awal. Ada la dalam 350 orang mengikut Hj Isa. Di sini juga diagihkan 9 ekor lembu untuk dikorbankan. Alhamdulillah.

Ketibaan rombongan di setiap kampung disambut dengan mesra. Ramai yang mengucap salam dan menghulur tangan bersalaman tanda ukhuwah serta menghargai kedatangan kami. Biarpun bahasa menjadi penghalang untuk bertanya khabar lebih mesra, keadaan rumah mereka yang daif sudah cukup menyedarkan betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia, negara yang aman dan sejahtera.

Kami dijamu dengan minuman air kelapa muda yang menyegarkan hasil tanaman penduduk kampong dan hidangan tengahari dengan menu nasi putih, gulai daging lembu, daging lembu salai dan ulam seperti menu di KKS. Sungguh menyelerakan sebab dah tengahari…dah tiba masa makan.

Semua penduduk di sini termasuk Hj Isa tidak tahu berbahasa Melayu. Jadi ustaz Samadlah yang bertindak sebagai penterjemah antara kami dengan penduduk kampong. Pada pemerhatian saya penduduk di sini jauh lebih miskin dibandingkan KKS tetapi mereka kaya dengan budi bahasa dan menghormati tetamu – nilai sejagat yang diterap dalam Islam.

Hj Markom dan isteri turut member sumbangan kewangan kepada wanita-wanita kampong dan sumbangan makanan kepada kanak-kanak di sini. Bila melihat situasi ini, teringat saya inilah keadaan yang mungkin berlaku di Tanah Melayu pada tahun 50an dulu. Maknanya penduduk kampong di sini masih terkebelakang 20 atau 30 tahun berbanding dengan kita agaknya. Suatu yang kita perlu sekali lagi bersyukur.

Kami tak lama di sini kerana perlu ke lokasi ke3 kerana difahamkan penduduk di sana sudah lama menunggu ketibaan kami. Selepas makan diikuti ucapan ringkas dan pemberian sumbangan kami meneruskan perjalanan ke destinasi ke 3. Kami naik lori sekali lagi untuk keluar ke jalan utama. Dan dalam perjalanan pulang ini kami ditunjukkan dengan pam air telaga yang telah dibina hasil sumbangan warga pendidikan Johor. Syukur Alhamdulillah, inilah bantuan yang berterusan dari warga pendidikan Johor kepada masyarakat kampong di sini.

Destinasi ketiga ialah Kg Pre Khheay dalam daerah Champ. Perjalanan mengambil masa 2 jam dan melalui jalan raya yang tidak berapa elok – tanah merah menyebabkan kelajuan bas adalah pada tahap sederhana.

Dalam perjalanan banyak yang saya sembangkkan bersama Ustaz Omar yang telah 2 kali datang ke sini. Saya teringat kepada satu rencana yang say abaca berkaitan Kemboja sebelum ke sini. Kemboja melalui zaman kegelapan semasa pemerintahan Pol Pot (1971-1974). Pada zamannya golongan pandai dibubuh untuk mengelakkan kuasanya dicabar, mewujudkan askar yang setia kepadanya, memaksa rakyat bersawah padi tetapi hasilnya dirampas dan rakyat hanya dibenarkan memakan bubur sahaja. Akhirnya Pol Pot tumbang apabila Vietnam yang menyokong Hun Sen masuk ke Kemboja. Menurut Ustaz Samad, walaupun Hun Sen tidak membantu banyak masyarakat Islam tetapi pemerintahannya tidak menindas, menyekat masyarakat Islam, malah ramai kumpulan Islam luar Kemboja yang membantu masyarakat Islam tanpa tentangan pemerintah.

Jam 3.00 petang rombongan kami tiba dan disambut oleh penduduk kampong yang telah bersedia awal. Khemah turut didirikan di hadapan masjid.

Sesuai dengan pepatah Melayu, 'orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa', rombongan kami kemudian disajikan makan tengah hari oleh penduduk di Kampung Kedap setelah menyempurnakan ibadah qurban di situ. Masakan tradisional Kemboja termasuk gulai daging dan sambal goreng dan sop ala thai yang disediakan secara bergotong-royong itu ternyata membuka selera para anggota rombongan.
Seperti 2 kampung terdahulu, kolaborasi penduduk cukup hebat. Amalan gotong royong di kalangan penduduk masih menebal. Kalau di Johor istilah yang popular ialah `rewang’.

Sebelum itu sementara menunggu hidangan masak, saya dan rakan-rakan sempat bertandang ke beberapa rumah penduduk berhampiran. Saya bertemu dengan Mak Cik Maisemah (72 tahun) yang fasih berbahasa Melayu. Rupa-rupanya beliau pernah tinggal di Melaka selama 20 tahun dan berulang-alik ke Kemboja kerana 2 anaknya tinggal di Melaka dan 4 anak di Kemboja.

Cerita tragis beliau : suaminya ketika itu berumur 43 tahun (1972) telah dibunuh oleh pol Pot dengan cara ditembak mati kerana enggan menjadi buruh kerahan. Ramai yang lari ke luar Negara seperti Malaysia termasuk Mak Cik Maisemah. Patut la kat Johor ni banyak perkampungan Kemboja yang kebanyakkan berniaga kain baju.
Rumah ke 2 yang saya singgah ialah rumah En. Ahmad 62 tahun. Walaupun tak tahu berbahasa Melayu tetapi bersungguh-sungguh minta saya dan 3 rakan singgah dan kami `dikenalkan’ dengan ular sawa peliharaannya sepanjang 12 kaki dan berat dalam lingkungan 100 kg. Dah 8 tahun dibela sejak kecil lagi. Saya juga ditunjukkan dengan makanan yang dikenali sebagai `Tong Lo Mo’ iaitu usus lembu yang disumbat dengan daging dan dikeringkan untuk dijadikan lauk. Ngeri juga tenguk`Tong Lo Mo’ ni tergantung……

Anak-anak gadis penduduk Kemboja di sini juga boleh tahan juga cantiknya……
Jam 5.45 ptg kami bertolak pulang ke tempat penginapan. Maka tamatlah misi membawa amanah 59 ekor lembu dari Johor untuk diagih-agihkan kepada masyarakat Islam Kemboja. Moga rakan-rakan telah menyumbang kepada misi Qurban ini akan sentiasa mendapat keberkatan dan kerahmatan Allah SWT. Kita sesungguhnyab telah member ruang kepada saudara2 kita di Kemboja ini untuk sama-sama menikmati kemakmuran yang kita kecapi di samping melaksanakan ibadah yang dituntut ini.

Sebelum tiba di tempat penginapan sekali lagi kami dijamu makan malam di di Kg Khlang Sbek oleh ustaz Samad dan rakan-rakannya. Menu kali ini agak unik iaitu dinamakan “Lembu Naik Bukit” atau dalam bahasa Kemboja “Ko Plam Blum”. Hari ini dah tak tahu berapa banyak kilogram makan daging lembu……..
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment