


Bagaimanapun, semakin banyak yang memilih mengadakan khatan di hospital atau klinik yang tidak melibatkan apa-apa majlis. Cara itu lebih mudah dan tidak melibatkan perbelanjaan yang banyak.
Biarpun amalan berkhatan telah lama diadakan dalam masyarakat Melayu dan merupakan sesuatu yang disyariatkan dalam Islam, masih ada yang tidak memahami mengapa kanak-kanak lelaki perlu dikhatankan.
Sesungguhnya setiap amalan dalam Islam tentunya mempunyai hikmahnya. Biarpun Allah tidak menjelaskan secara khusus hikmahnya tetapi daripada kajian sainstifik yang dilakukan pakar yang berkaitan menemui kebaikan mengapa amalan itu diperintahkan. Amalan berkhatan di kalangan kanak-kanak lelaki mempunyai kebaikan yang diakui pakar kesihatan.
Berkhatan lelaki melibatkan pemotongan hujung kulit kulup zakar atau kulit yang menutup bahagian penghujung zakar. Dengan berkhatan zakar akan terhindar daripada terkumpulnya kotoran dan mengelak timbulnya bau yang tidak menyenangkan.
Tempat itu mudah menjadi tempat pembiakan dan merebaknya penyakit berkaitan seks seperti siplis, gonorhea dan Aids. Berkhatan juga dipercayai dapat mengurangkan risiko lelaki mengidap penyakit kanser zakar.
Bahkan, lelaki berkhatan juga mengurangkan kemungkinan pasangan perempuan daripada menghadapi masalah salur reproduktif seperti jangkitan dan kanser pangkal rahim. Lelaki berkhatan juga lebih memberi kepuasan kepada perempuan semasa melakukan hubungan seks.
Tinjauan yang pernah dijalankan di Amerika Syarikat pada awal 1980 terhadap perempuan yang mempunyai banyak teman lelaki yang berkhatan dan tidak, kira-kira 90 peratus menyatakan yang mereka memilih pasangan yang berkhatan.
Mengikut satu perangkaan, di seluruh dunia satu dari enam orang lelaki dikhatankan, dan setiap tahun dianggarkan sejumlah 15 juta prosedur berkhatan dijalankan.
Selain memenuhi tuntutan agama, kesedaran mengenai kebaikan berkhatan telah mendorong ramai lelaki moden melakukan amalan itu. Bilangan lelaki berkhatan semakin bertambah terutama di negara maju dan semakin diterima di negara sedang membangun di rantau Asia.
Sekarang ini telah timbul kesedaran di kalangan ibu bapa untuk mengkhatankan anak lelaki ketika usia beberapa hari. Proses ini dikatakan lebih mudah dan selamat. Kanak-kanak yang dikhatankan ketika usia bayi mempunyai risiko lebih rendah daripada jangkitan saluran kencing. Tabiat kencing malam juga kurang dialami kanak-kanak dikhatankan ketika usia bayi.
Jelas sekali, semua peraturan yang ditetapkan dalam Islam memberi kebaikan. Tidak benar jika dikatakan amalan itu satu bentuk penyeksaan. Ada pihak menakut-nakutkan orang bukan Islam agar tidak memeluk Islam dengan alasan penderitaan yang terpaksa ditanggung semasa berkhatan.
- Pada mulanya doktor akan mengukur diameter alat sulit untuk menentukan saiz bersesuaian dengan menggunakan alat yang dinamakan Sunameter.
- Doktor akan memberikan suntikan bius.
- Menandai bahagian kulit di hujung zakar (kulup/prepuce) yang hendak dibuang.
- Memasukkan tiub ke dalam bahagian yang ditandai tadi.
- Alat pengunci dipasang pada bahagian berkenaan untuk memastikan kedudukan tiub berada pada kedudukan yang tepat dan diketatkan. Untuk memastikan ia diketatkan dengan sempurna, peralatan yang dinamakan Sunalever digunakan bagi memudahkan kaedah berkhatan.
- Bahagian kulup yang hendak dibuang dipotong menggunakan peralatan khas seperti scalpel, gunting atau diathermy/cautery yang dipanggil oleh kebanyakan orang sebagai kaedah laser.
- Kemudian bahagian hujung tiub tadi akan dicabut dan yang tinggal hanyalah sebahagian kecil tiub berbentuk cincin dibiarkan melekat pada alat kemaluan.
- Cincin itu akan dibiarkan begitu dan akan ditanggalkan atau tertanggal sendiri apabila sembuh sepenuhnya beberapa hari selepas itu, biasanya antara lima hingga 14 hari.
Sepanjang menemani Haziq saya memperoleh pengetahuan baru berkaitan berkhatan. Dalam tempoh 10 minit sahaja proses berkhatan selesai tanpa sedikit pun Haziq menunjukkan rasa sakit, takut atau menangis. Inilah hebatnya teknologi dan alangkah ruginya kita kalau tidak memanfaatkan teknologi. 10 minit menemani Haziq juga mengingatkan saya semasa saya menemani isteri di dewan bersalin menunggu kelahiran Haziq satu ketika dulu. Rupa-rupanya dah 10 tahun anak keempat ini lahir seolah-olah baru semalam ianya berlaku. Seminggu lagi alat sunatrone Haziq perlu dibuka semula dan saya tinggalkan beliau di kampong bersama isteri dan anak-anak lain atas tuntutan kerja.
Petang itu saya mendapat khabar seorang cucu saudara yang juga berkhatan beramai-ramai di hospital Segamat dan menjadi orang pertama masuk ke bilik berkhatan melaung-laung apabila dibius dan enggan dikhatankan walaupun puas dipujuk. Dari jam 8 sampai jam 2 masih gagal dipujuk, akhirnya proses berkhatan dibatalkan. Terfikir saya, kenapa berlaku seperti itu, Takutkan cucu saudara saya itu atau ada factor-faktor lain. Ianya juga mengingatkan saya kisah lucu di kampong perihal bersunat ini apabila kanak-kanak lelaki sangat gerun untuk berdepan dengan Tok Mudin. Ada yang menangis dan berlari ke kebun dan sebagainya. Itulah cerita yang kita dapat dengar daripada orang-orang tua kita. Nasib baik saya tidak perlu mengalami pengalaman berkenaan kerana saya berkhatan dengan doctor dan bukan Tok Mudim.




























Malaysian Ringgit Converter




























































