Tip Menghadiri Temuduga


Beberapa minggu lepas beberapa orang anak buah datang berjumpa saya untuk meminta tandatangan pengesahan dan berkongsi tip untuk menghadiri temuduga pelantikan jawatan sebagai guru tetap. Sempatlah saya buka notebook dan cetak beberapa panduan berkaitan yang saya perolehi melalui maklumbalas pihak SPP dan pengalaman sendiri semasa menjadi panel temuduga semasa di Jabatan pelajaran dahulu. Input terbaru yang saya peroleh daripada ucapan PPD semasa Perhimpunan Bulanan Bulan Oktober lalu juga menyebut antara kelemahan-kelemahan guru semasa menghadiri temuduga ialah kelemahan berbahasa, pengetahuan am dan personaliti.

Semasa menghadiri temuduga pastinya kita akan mengalami dua keadaan emosi yang berbeza iaitu kegembiraan dan kerisauan. Gembira kerana dipanggil menghadiri temu duga, manakala risau memikirkan bagaimana untuk berhadapan dengan penemuduga yang tidak dikenali. Cara terbaik menangani perasaan gementar ialah melalui persiapan yang rapi. Ini termasuk ketenangan diri, sikap, penampilan diri, cara duduk, kemahiran komunikasi, cara menjawab soalan, penampilan diri serta hubungan mata anda.
Sesi temu duga memberi peluang kepada penemuduga melihat ciri personaliti kita yang mungkin sesuai dengan jawatan yang dipohon memandangkan kelayakan akademik telah diketahui berdasarkan resume.

Datang awal

Pada hari temu duga rancang perjalanan anda dengan tiba di organisasi itu 30 minit lebih awal supaya anda berpeluang menenangkan diri dan bersiap sedia daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Selain itu, bertujuan mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas jika temu duga itu diadakan di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Namun, jika terlewat hubungi pihak penemuduga mengenainya dan mohon maaf atas masalah itu.
Bersopan terhadap staf seperti memberi salam dan senyum ketika berada di organisasi itu. Walaupun tidak dikenali kemungkinan mereka itu bakal menjadi ketua anda atau orang yang boleh mempengaruhi peluang anda untuk mendapat pekerjaan itu.

Pastikan anda telah mendapat nama dan jawatan penemuduga yang betul daripada pegawai yang mengurus temu duga itu. Sebagai tanda hormat anda pastikan panggilan hormat dan gelaran yang betul untuk penemuduga seperti ’Yang Berbahagia Dato’, Tuan atau Puan.

Tanggapan pertama

Proses temu duga dianggap bermula sebaik anda melangkah masuk ke bilik temu duga. Penemuduga dapat mengukur dan menilai dari segi pakaian dan kekemasan diri, cara berjalan, pembawaan diri serta bagaimana anda menyapa penemuduga.
Mereka dapat melihat sama ada anda kelihatan yakin, beradab sopan serta mesra. Oleh itu, anda harus mempersiapkan diri secara luaran dan dalaman.

Ketenangan

Perkara paling penting ketika temu duga ialah ketenangan walaupun agak sukar dilakukan. Ketenangan diri perlu ditunjukkan ketika anda mula melangkah masuk ke bilik temu duga, berjabat tangan, duduk, semasa ditemuduga dan ketika melangkah keluar dari bilik itu.

Ketika masuk ke bilik temu duga, berilah salam atau ucapkan ‘selamat pagi’ atau ‘selamat petang’. Bagi menunjukkan anda seorang yang faham mengenai kesopanan, duduk setelah dijemput berbuat demikian di kerusi yang disediakan. Kemudian, duduklah dengan selesa dan sopan. Berikan tumpuan kepada sesi temu duga yang dijalankan itu.

Bersalaman

Bersalam secara erat.. Perbuatan itu menggambarkan anda begitu bersemangat, teruja dan bersedia untuk ditemuduga. Bagaimanapun, pastikan tapak tangan anda kering sebelum bersalam dengan penemuduga.

Sikap

Sebagai orang yang pandai lagi berilmu anda seharusnya bersikap positif, terbuka, tenang dan yakin apabila berhadapan dengan penemuduga. Sebaliknya, ketakutan, kegelisahan dan darah gemuruh akan memberi tekanan dan kesan negatif kepada penumpuan anda ketika temu duga.

Senyum

Tampilkan wajah yang ceria dan disenangi. Tunjukkan keikhlasan anda ketika bercakap dengan memberikan senyuman. Jangan memberi senyuman selain daripada senyuman ikhlas. Senyuman mampu mengurangkan tekanan dan ’memecah’ halangan dengan penemuduga.

Kesopanan

Tunjukkan tabiat terbaik yang ada miliki mulai anda melangkah masuk ke tempat temu duga. Bersopan-santunlah sewaktu bertutur dan berbicara dengan penemuduga. Gunakanlah bahasa yang baik dan positif.

Pastikan anda berkomunikasi dengan baik dan gunakanlah kebijaksanaan anda ketika proses temu duga. Kesopanan dalam berbahasa melambangkan keperibadian yang anda miliki.

Penampilan diri

Penampilan anda perlu kemas dan rapi. Kenakan pakaian yang bersesuaian dengan pekerjaan yang dipohon. Jangan berpakaian secara keterlaluan atau menjolok mata.

Penampilan diri sangat mustahak kerana ia adalah penilaian pertama penemuduga. Penampilan diri yang menarik mampu meningkatkan keyakinan pihak bakal majikan terhadap keupayaan anda. Penampilan diri ini merangkumi aspek fizikal, mental dan sosial anda. (Tip penampilan diri akan diterangkan pada keluaran akan datang)

Duduk dengan selesa


Ketika ditemuduga, duduklah dengan selesa dengan belakang badan ditegakkan dan wajah anda menghadap penemu duga, manakala kaki dan lutut dirapatkan sedikit supaya kelihatan sopan.

Calon wanita, boleh meletakkan kaki dengan cara menyerong ke sebelah kanan atau kiri sebaliknya, jangan meletak kaki secara bersilang kerana ia kelihatan kurang sopan. Tangan pula hendaklah diletakkan di atas paha. Lelaki pula sesuai meletakkan tangan di atas lengan kerusi.

Mendengar dan memahami soalan dengan baik

Beri perhatian kepada setiap soalan yang ditanya oleh penemuduga dan jadilah seorang pendengar yang baik. Cuba fahami soalan itu sebelum menjawab. Sekiranya kurang jelas, mohon supaya soalan itu diulangi.

Pada kebiasaannya penemuduga akan bertanya soalan mengikut keadaan. Soalan biasanya berbentuk umum, tetapi menjurus kepada diri anda. Contohnya, “Boleh ceritakan mengenai diri atau latar belakang serta kebolehan anda?” atau “Apakah keistimewaan yang anda miliki untuk menjawat jawatan ini?”
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment