Penglibatan Mahasiswa Dalam Masyarakat Masih relevan



Petikan Berita Portal SMK Bandar Putra (7/3/2010)

Program 'Selangkah Ke Alam Remaja' (SEKAR) telah dijalankan oleh Jawatankuasa Asrama SMK Bandar Putra, Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKBP dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Persatuan Bachelor Ekonomi (BECS) dan Student Facilitating Front (STUFF), Universiti Islam Antarabangsa pada 5 - 7 Mac 2010 di Asrama SMK Bandar Putra. Seramai 230 penghuni asrama terlibat sebagai peserta program berkenaan. Seramai 40 orang mahasiswa UIAM daripada berbagai fakulti terlibat sebagai fasilitator.

Menurut Sdr Ariffin bin Abdul Latif yang bertindak sebagai Pengurus Projek SEKAR ini menyatakan bahawa program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penghuni-penghuni asrama sekolah ini berkaitan persediaan dan kesediaan pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Melalui tema "Menghadapi Cabaran Mendepani Impian" pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti ceramah motivasi, aktiviti simulasi kumpulan, sesi perkongsian, permainan, riadah, persembahan kumpulanh dan lain-lain diharap dapat memberikan suntikan inspirasi kepada peserta untuk merealisasikan impian masing-masing.

Perasmian penutup program ini disempurnakan oleh En. Azman bin Adnan, Pengetua SMK Bandar Putra di Dewan Asrama SMK Bandar Putra. Menurut beliau, "Program seumpama ini diharap dapat memberikan impak yang besar khususnya kepada penghuni asrama sekolah ini dalam menghadapi cabaran untuk menjadikan impian menjadi pelajar yang cemerlang dapat dijadikan realiti. Program seumpama ini juga sebagahian daripada usaha pihak sekolah untuk memasyarakatkan sekolah dengan memberi ruang kepada pihak masyarakat seperti golongan mahasiswa universiti untuk berkongsi pengalaman dan input dengan pelajar-pelajar sekolah dan saya menganggap program selama 2 hari ini telah berjaya mencapai matlamatnya,".


Petikan berita dalam Portal SMKBP di atas mengimbau ingatan saya kepada pengalaman dan kenangan semasa berstatus mahasiawa 20 tahun yang lalu. Kehadiran sekumpulan mahasiawa mengadakan program bersama pelajar-pelajar di sekolah saya benar-benar menggembirakan saya dan rakan-rakan yang lain kerana satu ketika dulu kami juga pernah memainkan peranan yang sama iaitu turun ke sekolah-sekolah membantu murid-murid sekolah melalui pelbagai program. Antara istilah yang terkenal pada masa itu ialah Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM), Bakti Siswa, Sedar gerak Maju (SERU) dan sebagainya.

Nampaknya peranan mahasiawa masih lagi releven dengan pembangunan masyarakat. Dalam konteks di sekolah saya sebahagian kumpulan mahasiawa UIAM ini menyasarkan golongan murid sekolah sebagai kumpulan yang perlu dibantu dan dibimbing menerusi pelbagai aktiviti yang diatur dengan terancang dan berkesan. Mereka bukan sahaja berkongsi idea, ilmu dan pengalaman sendiri malah berusaha membawa golongan professional yang lain turut sama menyumbang dalam program berkenaan. Bagi saya ini merupakan perancangan dan idea yang kreatif dalam program-program mereka.

Kita perlu mengakui bahawa peranan yang dimainkan oleh gologan ini sangatlah besar kerana golongan ini merupakan generasi yang berada di institusi pengajian tinggi dan golongan yang sangat aktif menuntut ilmu. Sebagai golongan bergelar mahasiswa, golongan ini dipandang tinggi dan sentiasa dijadikan contoh oleh masyarakat umum. Golongan mahasiswa perlu bersedia untuk menjadi golongan penggerak utama dalam menjayakan Wawasan 2020. Malaysia mampu merealisasikan impiannya untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 sekiranya kepakaran, kemahiran, pendapat dan pandangan golongan ini diambil kira sebagai pembinaan asas menuju ke arah negara maju.

Sebagai generasi yang sentiasa berjuang menuntut ilmu dan sentiasa menyediakan diri sebagai generasi pelapis kepimpinan negara maka golongan ini perlu diberi peluang sebagai satu kumpulan pemikir dalam meneruskan kelansungan pembangunan negara. Ilmu dan kepakaran yang ada dalam kalangan golongan ini wajar dimanfaatkan dengan sebaik mungkin agar kita tidak ketandusan idea-idea baru. Modal insan berkualiti yang wujud di IPTA dan IPTS negara ini boleh menjadi generasi penerus kepada kejayaan misi Wawasan 2020 dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang dihormati oleh negara-negara lain di dunia serta aplikasi pembangunan yang dilaksanakan di Malaysia menjadi rujukan kepada negara lain.

Melalui pelbagai aktiviti seperti turun ke padang secara langsung bertemu masyarakat sama ada melalui program-program berorientasikan pendidikan, khidmat masyarakat, ekonomi dan sebagainya saya yakin dapat menjadikan golongan mahasiawa menjadi lebih kreatif dalam mencernakan idea-idea baru dalam membangunkan komuniti kepimpinan pelajar yang bakal menjadi landasan kepada pembangunan generasi pelapis kepimpinan negara.

Tahniah kepada sdr Ariffin A Talib dan rakan-rakannya dari Persatuan Mahasiswa Bachelor Ekonomi UIAM atas kesudian berkongsi pengalaman bersama anak-anak didik saya. Selamat maju jaya.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment