Selamat Hari Guru - Terima Kasih Cikgu


Semalam saya tidak dapat upload artikel ini kerana gangguan dan masalah perkhidmatan stremyx di rumah sepanjang hari disebabkan petir yang merosakkan modem. Baru malam tadi saya dapat mengganti modem dengan yang baru dan setelah bersusah payah menghubungi TM Online untuk mendapatkan username dan password. Hampir 40 minit menghubungi TM baru dapat bercakap dengan pegawai pelanggannya. Memang menyeksakan. Bagaimanapun terima kasih kepada TM kerana membantu saya.

Hari ini seluruh warga guru akan menyambut Hari Guru. Pada tahun ini iaitu Hari Guru ke-38 bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ disambut di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Terengganu manakala di peringkat sekolah telah ditetapkan akan diadakan pada 18 MEI 2009 (Isnin). Ini adalah hari yang ditetapkan untuk memperingati jasa dan sumbangan guru dalam apa juga peringkat dan bentuk pendidikan/persekolahan. Sama seperti kita memberikan hari untuk memperingati ibu, bapa, telekomunikasi dan sebagainya.

Istilah GURU adalah merujuk kepada fungsi yang pelbagai. Hakikatnya GURU ialah segala-galanya daripada menjadi pendidik, pengasuh, pembimbing, penasihat, mentor, penyumbang fikiran, jurutera, jurulatih sehinggalah kepada penderma wang ringgit. Justeru, Islam meletakkan pendidik pada satu tahap kedudukan yang amat istimewa. Saya masih ingat pemberian kuih dan nasi lemak yang dibawa oleh Allahyarham cikgu Zahariah (guru yang saya sangat sayangi) ketika di darjah satu. Oleh sebab saya menjadi Ketua Darjah maka cikgu Zahariah selalu mempelawa saya makan bersamanya. Saya menjadi berani di sekolah kerana diberi peluang oleh cikgu menjadi Ketua Darjah. Saya juga tidak lupa tiga rotan di tapak tangan oleh cikgu Tukiman gara-gara tidak dapat menghafal sifir 9 semasa di darjah 3 dan saya balik paling lewat pada hari berkenaan setelah saya dapat menghafal dengan baik. Saya tidah pernah gagal matematik walaupun tidak sentiasa cemerlang juga kerana rotan cikgu Tukiman.

Pengalaman pahit manis belajar tidak sampai saya membenci guru, malah jasa mereka tetap dikenang. Malah semua guru saya sebenarnya telah menjadikan saya manusia untuk mengharungi kehidupan ini. Hingga pada satu tahap kini saya kembali bertugas sebagai guru bersama dengan guru-guru yang pernah mengajar dan mendidik saya. Terima kasih cikgu yang tak dapat saya sebut satu persatu di sini dari saya belajar di Kelas Tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan di universiti. Kalau tanpa mereka tak mungkin saya akan berada pada tahap sekarang. Terima kasih cikgu.

Benar seperti kata Sasterawan Negara Usman Awang, sesiapa juga yang berjaya pada hari ini bermula dengan jasa guru. Pelajar SRP (dahulu) dan kini PMR, SPM dan STPM perlu mengakui hakikat bahawa usaha bimbingan tidak ternilai dan pengorbanan besar guru menjadikan mereka calon cemerlang mencipta rekod tahun demi tahun. Pelajar yang kurang berjaya, tidak boleh menyalahkan semuanya kepada guru. Guru adalah golongan kedua paling penting selepas ibu bapa dalam mendidik dan membentuk jati diri kita semua. Saya berani berkomunikasi di hadapan audien juga setelah didesak dan diasuh oleh cikgu Shamsuddin untuk berpidato 5 minit di perhimpunan setiap dua minggu sekali semasa di tingkatan 4 dan akhirnya saya menjadi bertambah yakin dengan diri saya.

Namun, sejak akhir-akhir ini profesion perguruan menerima tekanan pelbagai sudut. Dengan beban tugas yang semakin bertambah dan kerenah pelajar serta ibu bapa yang pelbagai, menjadikan profesion perguruan semakin semakin mencabar berbanding dulu. Jika dulu, menjadi kebiasaan seorang guru mengambil tindakan terhadap pelajar yang membuat salah laku tetapi, kini tindakan itu mungkin akan mengundang masalah seperti banyak dilaporkan di media massa. Lebih teruk lagi, ada ibu bapa yang mengamuk menyerang guru di sekolah, bahkan menyaman guru. Kini, peranan guru sekadar mengajar dan tidak mempunyai kebebasan yang mencukupi untuk mendidik generasi muda menjadi manusia yang lebih berguna pada masa depan. Maka, seharusnya guru diberi peluang, kebebasan dan ruang dalam membentuk generasi muda. Setiap pihak terutama ibu bapa, berilah kepercayaan dan keyakinan kepada guru. Tiada guru yang ingin mencubit, mengherdik, merotan dan memarahi anak kita jika mereka tidak melakukan kesalahan. Ingatlah, suatu ketika dulu, kita pernah melalui zaman persekolahan dan diajar oleh guru yang sentiasa sabar dengan kerenah kita. Janganlah terlalu memanjakan anak sehingga menyebabkan guru tidak dapat memainkan peranan mereka yang sepatutnya. Jika -anak dimarahi, bertanyalah kepada guru apakah kesalahan mereka dan berterima kasih kepadanya kerana menegur anak kita

Kepada rakan-rakan guru, janganlah berputus asa untuk sentiasa melakukan yang terbaik buat anak-anak kita. Untuk melakukannya seorang diri tak mungkin tetapi kita perlu bersama dalam satu pasukan yang kuat untuk melaksanakan semua visi dan misi yang telah ditentukan. Selain itu, janganlah gentar melakukan sesuatu transformasi untuk kebaikan anak kita. Bentuklah generasi sekarang dengan lebih kreatif dan inovatif dan bukan sekadar cemerlang peperiksaan. Zaman dah berubah dan kita hendaklah menyesuaikannya dengan pendekatan mengikut trend dan zaman semasa. Oleh sebab kita sendiri yang memohon dan berminat untuk menceburkan diri dalam profesion ini secara langsung ia menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk memastikan anak-anak kita berjaya. Sejarah telah membuktikan bahawa ratusan ribu rakan-rakan kita di seluruh negara dari peringkat pra sekolah, rendah, menengah hingga ke pengajian tinggi telah dapat membantu melahirkan insan yang kini menjadi warga Malaysia yang bertanggungjawab. Kejayaan guru-guru kita juga berkat sokongan dan dokongan semua pihak : ibu bapa, masyarakat malah kerajaan kita yang sentiasa berusaha untuk memaju dan memartabatkan profesion pendidikan yang paling tua di dunia ini. Dalam kitaran proses pendidikan, kejayaan anak-anak didik kita adalah saling melibatkan pemboleh ubah atau faktor yang berbagai-bagai termasuk guru, sekolah, ibu bapa, masyarakat, dasar kerajaan dan lain-lain. Oleh itu kita mesti memahami bahawa pendidikan adalah tanggungjawab kita bersama.

Selamat Hari Guru untuk seluruh warga pendidik di negara ini. Terima kasih cikgu.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment