Rencana Pilihan Portal Utusan : Kutipan PIBG Membebankan?

Oleh TUN FAISAL ISMAIL AZIZ

Seorang bapa yang merupakan pegawai kerajaan bergred M48 paling banyak menentang di dalam Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di Putrajaya. Dalam mesyuarat tersebut, dia memberikan gambaran seolah-olah kerajaan langsung tidak membantu persekolahan anaknya. Dia juga membantah jumlah kutipan yang dicadangkan oleh sekolah dan akhirnya mesyuarat dipaksa bersetuju untuk hanya mengutip RM20 setahun bagi satu keluarga; satu jumlah yang sangat menyedihkan bila bercakap tentang pendidikan anak-anak, lebih-lebih lagi bila mengambil kira gred jawatan bapa tersebut, iaitu M48 dan penempatan anaknya di sebuah sekolah yang terpilih di persekitaran Putrajaya.

Ini adalah salah satu masalah utama berikutan pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengenai sumbangan PIBG. Disebut dalam pekeliling tersebut, walaupun kutipan ini dibenarkan, namun ia hendaklah dipersetujui terlebih dahulu oleh semua ibu bapa dan pihak sekolah semasa Mesyuarat Agung PIBG. Hasrat KPM adalah mulia kerana mahu memberi lebih ruang kepada PIBG dan pihak sekolah untuk menentukan sendiri sebarang bentuk dan jumlah kutipan bagi memenuhi keperluan persekolahan murid di sekolah mereka. Malangnya sikap ibu bapa yang terlalu berkira menyulitkan keadaan.

Bagi bapa gred M48 ini, saya suka memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada pelajar miskin seperti Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu Sekolah, Biasiswa, Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Makan Khas Prasekolah, Bantuan Jaket Keselamatan Murid dan Bantuan Pengangkutan Murid, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Pada tahun 2007, KPM juga telah memansuhkan semua yuran peperiksaan awam. Sebanyak RM93.5 juta telah diperuntukkan bagi mengganti semula hasil kutipan bagi yuran peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Manakala sebanyak RM12.87 juta telah dibelanjakan untuk peperiksaan STPM.

Pada tahun yang sama, KPM telah mengadakan pinjaman buku teks kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga dan jenis sekolah pada tahun 2008. Sebanyak RM 139,784,051 diperuntukkan bagi mengadakan Skim Pinjaman Buku Teks ini yang memberi manfaat kepada 4.5 juta murid, iaitu 81.5 peratus daripada jumlah pelajar di semua sekolah KPM. Pada tahun 2008, KPM juga telah memansuhkan yuran khas sekolah sebanyak RM4.50 untuk sekolah rendah dan RM9 untuk sekolah menengah telah dimansuhkan.

Pada tahun 2006, kerajaan telah menaikkan peruntukan kokurikulum dari RM2.56 setahun kepada RM 10 setahun bagi setiap pelajar di sekolah rendah dan RM12 setahun bagi setiap pelajar di sekolah menengah. Jumlah ini memadai untuk melaksanakan sejumlah aktiviti kokurikulum di sekolah dan jangan pula dibazirkan untuk membeli yang bukan-bukan.

Pada tahun 2009 pula, KPM telah mengadakan geran per kapita untuk tabung PIBG, iaitu RM8 bagi seorang pelajar di sekolah rendah dan RM10 bagi seorang pelajar di sekolah menengah. Ini bermaksud jika sebuah sekolah menengah mempunyai 1000 orang pelajar, peruntukan geran per kapita bagi PIBG sekolah tersebut adalah sebanyak RM 10,000 yang boleh digunakan untuk menampung pelbagai aktiviti pelajar. Jumlah ini tidak termasuk geran per kapita yang diperuntukkan untuk membeli buku-buku di pusat sumber.

Apalah nilai RM20 setahun per keluarga bagi seorang bapa bergred M48 di Putrajaya? Di sekolah luar bandar pun, berdasarkan maklum balas yang saya terima, ada PIBG yang mengutip sehingga RM50 setahun bagi setiap orang anak. Di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tertentu, selain kutipan PIBG, ada sekolah yang mengutip RM150 hingga RM200 SEBULAN untuk melaksanakan pengajaran sukatan pelajaran luar negara di waktu petang, termasuk mengadakan kelas tuisyen.

Mungkin sudah sampai masanya, pihak sekolah mengenakan syarat bagi ibu bapa yang hendak menghantar anak mereka ke sekolah yang terpilih. Mungkin elok ditanda tangani persetujuan bahawa ibu bapa perlu bersedia menyumbang untuk kemajuan anak-anak mereka di sekolah tersebut atau anak mereka tidak akan terima untuk belajar di situ.

Jika ibu bapa mahu memilih sekolah, mungkin elok juga sekolah diberi pilihan untuk memilih ibu bapa yang sesuai untuk mereka. Dalam kes bapa bergred M48 yang sangat berkira ini, mungkin elok anaknya dihantar ke sekolah lain sahaja.
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment