Minda Pagi 5 Februari 2009
Sebuah lagu Melayu yang tidak asing lagi hingga ke hari ini, ialah lagu Tudung Periuk. Antara ungkapan pantun lagu ini: Tudung periuk pandai menari; Mainan anak Putera Mahkota; Kain yang buruk berikan kami; Buat menyapu air mata. Secara tersurat, mungkin kita katakan ia hanyalah serangkap lagu rindu-rinduan. Sebenarnya, jika kita mengerti makna di sebaliknya, Lagu Tudung Periuk sebenarnya mendidik supaya anak-anak muda kita bertanggungjawab, berani serta mengharungi hidup penuh cabaran untuk menjadi pemimpin masa depan. Tudung periuk pandai menari – ` Tudung periuk ‘ diertikan sebagai pemimpin keluarga. `Pandai menari’ bukan bermakna orang itu penari tetapi ia bermaksud bijaksana, iaitu pemimpin yang tahu mengikut `tingkah gendang’ dalam pelbagai situasi kehidupan. Mainan anak putera mahkota - `Mainan’ bukan bermakna barang mainan atau permainan, tetapi adalah kesukaan atau kebiasaan sehari-hari. `Putera mahkota’ bukan bermaksud anak raja, tetapi lambang generasi muda, lambang pewaris bangsa. Kain yang buruk berikan kami - `kain buruk’ bermaksud kain basahan mandi atau kain penutup aurat yang berfungsi sebagai penutup malu atau penjaga kehormatan. Buat Menyapu Air Mata - `Air mata’ bukan semata-mata ratap tangis, derita atau kecewa, tetapi orang Melayu juga melambangkannya sebagai sifat pengecut, perajuk dan tidak bertanggungjawab. Sifat ini yang harus `disapu’ atau dihapuskan di hati generasi muda kita.
Lagu Tudung Periuk hanyalah satu contoh yang kecil untuk menerangkan bagaimana nenek moyang kita tidak pernah jemu-jemu memberikan pendidikan, khususnya tentang nilai-nilai akhlak yang murni serta pentingnya tanggungjawab kepada diri sendiri dan kepada masyarakat. Mereka memang tidak pernah kenal piagam pelanggan atau ISO 9000, tetapi falsafah yang mereka terapkan tentang erti kehidupan memang tidak ternilai harganya.
Tugas pendidikan tidak pernah berubah walaupun manusia hidup dan mati silih berganti. Akhir daripada proses mendidik ialah untuk melahirkan manusia yang berguna dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Manusia yang berguna tidak boleh dilahirkan sekadar dengan membekalkan kepandaian sahaja. Apalah ertinya kepandaian yang membumbung tinggi, jika kepandaian itu tidak dapat menjadikannya sebagai manusia yang bertanggungjawab. Penanaman nilai-nilai tanggungjawab iaitu sebahagian elemen yang terkandung di dalam nilai rohani manusia.
Tanggungjawab guru dan para pendidik ialah menerapkan nilai-nilai yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah melahirkan anak-anak kita yang seimbang. Dengan keseimbangan itu, akhirnya apabila anak-anak didik kita dewasa nanti, mereka akan pandai menari mengikut tingkah gendang kehidupan yang semakin mencabar. Justeru, tugas dan perjuangan kita sebenarnya masih jauh dan belum selesai. Kegigihan dan keprihatinan yang tinggi dari para pendidik amat diharapkan bagi mencapai hasrat itu. Keadaan ini bertambah mendesak lagi apabila kita sendiri menyaksikan peranan 50 juta guru di seluruh dunia sebagai agen perubahan serta agen memupuk persefahaman dan toleransi telah menjadi semakin kritikal menjelang abad ke-21 ini.
Tanggungjawab yang besar di atas pundak guru ialah sama-sama mengambil bahagian di dalam membentuk perwatakan, peribadi dan minda generasi baru yang lebih kompleks. Tugas mereka menjadi semakin mencabar apabila nilai-nilai moral yang terbentuk di dalam diri kanak-kanak moden dan seterusnya di dalam kehidupan masa depan mereka menjadi semakin penting bagi menghadapi era globalisasi dan pengaruh budaya massa (mass culture). Anak-anak didik kita harus dipandu di atas landasan yang betul dan tidak dikelirukan dengan perkara-perkara atau kefahaman yang tidak ada kaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran dan dunia persekolahan mereka.
Amatilah lagu "Tudung Periuk" ini untuk memastikan tanggungjawab kita membina generasi bangsa dapat kita lunaskan dengan sebaik-baiknya.
3.30 pagi
5 Februari 2009.
OK ada betulnya. Tanggungjawab guru memang berat. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
ReplyDelete