Tema HG2012 : Harapan negara dan tanggungjawab pendidik



Pemilihan tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” pada hemat saya adalah amat bertepatan dengan peranan guru sebagai penggerak utama segala perubahan idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkatkan amalan dalam  proses transformasi pendidikan, yang menjadi penentu kepada kejayaan transformasi negara. Sentuhan keramat guru telah melahirkan ramai cendekiawan, golongan profesional, usahawan, peniaga dan seluruh warga pekerja yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan negara kita selama ini.

Maka, pada saat negara kita sedang berada di ambang peralihan menuju sebuah negara maju berpendapatan tinggi, maka peranan guru menjadi lebih penting.  Di pundak guru-gurulah  letaknya harapan kita semua untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke tahap yang terbaik, dalam memastikan sistem pendidikan negara kita dapat melahirkan modal insan yang berkualiti untuk memacu transformasi negara ke tahap yang lebih tinggi. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa seluruh harapan dan cita-cita rakyat untuk menjayakan proses transformasi negara  dipertaruhkan kepada watan yang bergelar guru.

  Kerajaan sememangnya telah membuat perencanaan yang amat rapi untuk menjayakan proses transformasi pendidikan negara. Ini termasuklah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang merupakan mekanisme utama untuk menjayakan agenda penting ini. Namun, kita juga akur bahawa perencanaan yang rapi sahaja tidak menjamin keupayaan kita untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Lebih penting ialah pengorbanan dan daya juang guru yang berinovatif dalam menjayakan setiap perencanaan yang dilakar oleh kerajaan amat diharapkan. Untuk itu, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para guru di atas jerih perih anda semua dalam mencapai sasaran-sasaran penting yang ditetapkan di bawah NKRA pendidikan, dan juga di bawah dasar-dasar serta program lain yang sedang dilaksanakan di Kementerian Pelajaran.

          Sesungguhnya, guru memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan individu dan pencapaian matlamat pendidikan negara. Setiap insan yang pernah mendapat suluhan ilmu daripada seorang guru pastinya akan menghargai betapa besar sumbangan guru dalam setiap kejayaan yang dilakar. Hari ini saya ingin merekodkan penghargaan saya kepada warga guru yang sentiasa komited dalam menggalas amanah mendidik anak bangsa dan mendokong matlamat dasar pendidikan kebangsaan, iaitu untuk memupuk perpaduan, memacu kemajuan dan membentuk keperibadian insan yang mulia.

          Alhamdulillah, berkat komitmen warga guru, kita telah berjaya mencipta pelbagai kejayaan dalam bidang pendidikan. Hari ini dengan pemeluasan akses kepada pendidikan baik di peringkat rendah, menengah mahupun pengajian tinggi, kita telah berjaya menyediakan peluang pendidikan formal kepada setiap warganegara. Ini adalah satu pencapaian penting dalam proses pendemokrasian pendidikan di negara kita. Kemajuan yang dicapai dalam bidang pendidikan selama lebih lima dekad yang lalu juga telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat tanpa mengira kaum. Pencapaian ini sekali gus membantu menjayakan agenda pembasmian kemiskinan, penyusunan semula masyarakat, pembangunan negara dan pengukuhan  perpaduan.

          Pada  peringkat antarabangsa, negara kita juga telah diiktiraf sebagai antara negara yang paling berjaya dalam mencapai matlamat pendidikan untuk semua. Saya percaya, segala kejayaan ini tidak akan terlakar tanpa komitmen dan kesungguhan para guru dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi, dengan penuh rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada pertiwi. Namun, segala kejayaan ini tidak seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut supaya kita sentiasa meneroka pendekatan terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk melangkaui sempadan kecemerlangan.
           Sehubungan itu guru tidak akan lari daripada menempuh pelbagai cabaran semasa dan mendatang. Cabaran pertama ialah untuk meningkatkan kualiti dan ekuiti dalam pendidikan. Dalam sebuah negara yang menjanjikan kemakmuran untuk semua, komitmen kerajaan ialah untuk memastikan setiap warganegara berhak untuk mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti. Ini bermakna usaha berterusan mesti dilakukan untuk menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan prestasi setiap sekolah serta merapatkan jurang pencapaian murid tanpa mengira lokasi dan wilayah. Di sinilah guru memainkan peranan yang signifikan  dengan mempelbagaikan inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan setiap  murid mendapat pendidikan yang berkualiti.

           Kedua, menerima kepelbagaian dan pada masa yang sama memperkukuh perpaduan dalam sebuah masyarakat majmuk yang sedang melalui proses perubahan nilai sosial dan politik yang ketara. Adalah menjadi hasrat dasar pendidikan kebangsaan untuk memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum melalui sistem pendidikan yang mengutamakan perkongsian nilai, budaya dan cita-cita bersama. Sementara kita melihat kepelbagaian sebagai sumber kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, kita juga perlu memperkukuhkan perpaduan melalui sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif dan dinamik, justeru, cabaran besar bagi setiap guru ialah muncul sebagai kuasa pemersatu yang jitu (the binding force of unity) malah berinovatif dalam mendidik murid tanpa mengira kaum,  menghargai sejarah pembinaan negara bangsa, memahami kepelbagaian dan menjunjung aspirasi perpaduan selaras dengan semangat   dan   cita-cita 1Malaysia.

           Ketiga, meningkatkan daya saing negara di persada antarabangsa dalam iklim persaingan global yang semakin sengit. Berhadapan dengan cabaran ini, keutamaan kita ialah untuk mempersiapkan generasi muda dengan kualiti yang diperlukan supaya mereka boleh bersaing di persada antarabangsa. Di samping itu, jangan kita lupa bahawa usaha-usaha untuk meningkatkan prestasi dan kualiti sistem pendidikan kita perlu dilakukan secara berterusan kerana pada masa yang sama kita juga menghadapi persaingan dengan sistem pendidikan berprestasi tinggi di negara-negara maju yang meletakkan penanda aras baru kecemerlangan pendidikan. Pendek kata, dalam era globalisasi kini kita harus menerima hakikat bahawa pendidikan tidak lagi berfungsi sekadar untuk mengisi keperluan lokal, tetapi memenuhi tuntutan global. Inovatif  yang dilakukan oleh guru-guru tentunya nanti dapat memenuhi tranformasi dalam sistem pendidikan   di negara ini.  

             Dalam mengharungi cabaran-cabaran ini, kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pemugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan. Dasar dan strategi yang telah terbukti berjaya pada masa lampau, tidak semestinya berkesan untuk masa kini dan masa hadapan, justeru, sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.

             Maka, dengan semangat untuk melakukan pembaharuan yang bermatlamatkan peningkatan kualiti pendidikan secara berganda, tumpuan segera perlu diberikan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan prestasi sekolah, memantapkan kualiti guru dan melonjakkan keberhasilan murid. Inilah fokus utama inisiatif-inisiatif penting yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan. Kementerian Pelajaran telah menyediakan satu kerangka pelaksanaan yang menetapkan strategi penyampaian dan pencapaian sasaran NKRA.

         Usaha ini mencakupi empat sub NKRA iaitu peluasan penyertaan pra-sekolah; Program Literasi dan Numerasi (LINUS) murid; mewujudkan Sekolah Berprestasi Tinggi, termasuk meningkatkan prestasi setiap sekolah menerusi mekanisme Program Pembangunan Prestasi Sekolah (School Improvement Programme); dan pemberian insentif berasaskan pencapaian kepada guru besar, pengetua dan guru-guru yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan      kualiti pendidikan negara.

             Dalam menjamin kejayaan proses pemantapan kualiti pendidikan negara, beberapa dimensi penting pengurusan pendidikan perlu diberikan perhatian. Pertama, pengukuhan kepimpinan pendidikan dengan memberikan keutamaan kepada usaha untuk meningkatkan mutu penyampaian pendidikan dan melonjakkan prestasi dari peringkat prasekolah sehinggalah pengajian tinggi. Di peringkat sekolah, matlamat kita ialah untuk membangunkan ciri-ciri kepimpinan sekolah yang profesional, progresif dan dinamik dengan disokong oleh tenaga guru yang mempunyai kekuatan minda, ketangkasan daya fikir dan daya cipta ,kemantapan idealisme dan kekuatan jati diri. Kualiti dan profesionalisme kepimpinan pendidikan ini pula perlulah dibangunkan dalam persekitaran budaya kecemerlangan yang berpaksikan kepada etos masyarakat berpengetahuan.

                 Kedua, kepimpinan sekolah perlu memacu penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Bagi menghasilkan pendidikan yang bersifat inovatif, guru-guru perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan murid untuk berfikir secara kreatif . Kita perlu berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan (factory model of producing education) kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman pena'kulan (reasoning) murid. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan (rote learning) kepada pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind stimulating learning).

             Saya berharap agar aspek penting ini akan diberikan penekanan oleh guru-guru dalam pelaksanaan transformasi kurikulum di sekolah. Kejayaan pelaksanaan transformasi kurikulum ini amat bergantung kepada keupayaan guru-guru untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah agar matlamat menggalakkan budaya berfikir di kalangan murid dapat dicapai. Melangkah ke hadapan, saya percaya sudah sampai masanya kita memberikan autonomi profesional kepada guru-guru untuk merancang dan merangka kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik berdasarkan keperluan murid dan situasi setempat dengan berpandukan garis panduan kurikulum yang standard. Dengan ini, kita akan berjaya menzahirkan peranan sebenar guru sebagai pemangkin masyarakat berpengetahuan yang menggalas amanah besar untuk mentransformasi sekolah sebagai sebuah organisasi pembelajaran (learning organization) di mana proses pemerolehan ilmu, pengayaan pengalaman dan pembentukan sikap serta nilai-nilai positif berlaku secara dinamis dan progresif.

                 Ketiga, dalam kesungguhan kita untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, jangan kita lupa kepada satu lagi matlamat penting pendidikan iaitu untuk membentuk keperibadian insan yang mulia. Matlamat pembangunan insan yang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini perlu dimantapkan dengan pemugaran nilai-nilai agama, moral dan etika dalam pendidikan. Kita tidak mahu melahirkan manusia yang hebat pengetahuannya, tinggi kemahirannya, tetapi rendah akal budinya. Kecemerlangan pendidikan yang kita maksudkan merangkumi aspek pemurnian jiwa, ketinggian budi dan kejituan rohani. Dalam konteks ini guru seharusnya mampu menjadi pendidik dan role model yang mempamerkan pekerti mulia pada setiap masa untuk diteladani oleh murid.

Guru itu umpama lautan luas
Menghampar ilmu tak terbatas
Bagai hempasan keras gelombang
Kepada murid mendamai tenang
Guru itu laksana gunung agung
Tinggi berbukit sabar iktibar
Persis batu dan pasir terdampar
Tugasnya mulia mendidik mengajar

Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment