Kulaijaya – SMK Bandar Putra meneruskan tradisi perpaduan yang menjadi kekuatan sekolah di mana murid-muridnya terdiri dari berlainan bangsa. Pada hari ini konsep yang dilaung-laungkan menjadi kenyataan, apabila murid-murid dan guru-guru yang terdiri dari kaum Melayu, India dan Cina sama-sama menyambut sambutan Tahun Baru Cina. Sambutan pada kali ini dimulakan dengan perarakan masuk pengetua sekolah En. Azman bin Adnan dengan diiringi oleh guru-guru serta pengawas sekolah. Uniknya perarakan masuk ini diiringi oleh tarian singa.
Selepas perarakan masuk, semua warga sekolah dipersembahkan dengan tarian singa yang disumbangkan oleh YB Tan Sri Ong Ka Ting dikuti n ucapan oleh pengerusi Persatuan Bahasa Cina yang menerangkan sejarah Sambutan Tahun Baru Cina kepada semua murid. Ucapan pengetua sekolah pula menerangkan dengan jelas peri pentingnya sambutan perayaan di negara ini bagi menwujudkan perpaduan serta keunikan negara dari segi budaya dan cara hidup. Acara perasmian amat unik apabila En. Azman Bin Adnan, Pengetua SMK Bandar Putra menyiapkan tulisan kaligrafi Cina yang telah disediakan oleh murid-murid sekolah ini bersama guru-guru yang lain.
Acara yang paling menarik ialah apabila murid-murid menggunakan kemahiran ICT serta kebolehan berlakon, membuat persembahan sketsa bagi menggambarkan suasana serta mitos mengapa orang-orang Cina membakar mercun serta sentiasa berpakaian dan menghias rumah dengan warna merah. Selain itu, mereka juga menggambarkan bagaimana jampi digunakan untuk menghalau Nian, sejenis gergasi dari dalam laut. Sketsa ini lebih menarik lagi apabila ia disertai oleh murid dari pelbagai kaum untuk menjayakannya.
Semangat kerjasama serta muhibah amat jelas apabila semua murid dan guru berketurunan Cina berkongsi untuk membeli buah limau bagi diberikan kepada semua rakan yang berketurunan Melayu dan India. Pemberian buah limau ini menunjukkan bahawa perayaan Tahun Harimau ini perlu dikongsi bersama dengan rakan-rakan yang lain.
Sambutan pada hari ini diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai tiga buah lagu Selamat Tahun Baru Cina yang sangat popular dan sering didendangkan pada setiap tahun. Bagi memastikan semua murid dan guru berketurunan Melayu serta India dapat sama-sama menyanyi, senikata lagu-lagu berkenaan telah disediakan dalam tulisan Mandrin dan Rumi.
Sesungguhnya Sambutan Tahun Baru Cina di SMK Bandar Putra pada tahun ini membuktikan bahawa Wawasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Dato Seri Najib Bin Tun Abdul Razak boleh dilaksanakan walau di mana sekalipun kita berada, yang penting ialah di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Sambutan Tahun Baru Cina di sekolah ini merupakan acara tahunan yang menjadi aktiviti silang budaya di sekolah ini.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment