Tidak pernah persoal kesetiaan guru - Ucapan TPM Dalam Pelancaran B-GUN
PAGOH 22 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mempersoalkan kesetiaan golongan guru kepada negara.Katanya, sebagai pemimpin di peringkat sekolah, mereka perlu sentiasa mempunyai sikap kebersamaan kepada kerajaan supaya dapat menjayakan agenda pembangunan negara terutama Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam bidang pendidikan.
"Kita tidak akan mempersoalkan kesetiaan guru-guru. Selain setia kepada negara, elok juga kita setia kepada kerajaan terutama kepada kerajaan sedia ada.
"Sebabnya guru merupakan penggerak utama dalam masyarakat, masih dihormati, diberi penilaian yang tinggi dan menjadi pemimpin dalam masyarakat. Maka, kita mahu supaya sikap untuk bersama dengan kerajaan selalu ada," katanya semasa merasmikan Program Bangkit Guru Untuk Negara (B-GUN) peringkat negeri di Dewan Seri Pekembar di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran.
B-GUN merupakan program bersepadu yang dirancang bagi mengangkat martabat guru untuk membangkitkan profesionalisme, jati diri dan peranan guru bagi merealisasikan aspirasi kerajaan.
Ia juga program bersepadu yang terancang bagi mengangkat martabat guru sebagai pengamal pembelajaran berteraskan falsafah pendidikan kebangsaan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dalam menjayakan bidang pendidikan, guru mesti sentiasa bertanggungjawab memastikan semua perancangan dalam NKRA berkenaan berjaya dicapai.
"Usaha kerajaan sudah menampakkan hasil yang memberangsangkan. Walaupun baru setahun ia dilaksanakan tetapi berjaya mencatatkan kejayaan hampir mencapai 100 peratus," katanya.
Menurutnya, meskipun pada peringkat awal pelaksanaan berlaku sedikit masalah di kalangan guru dan ibu bapa, namun ia tetap dapat dilaksanakan dan menampakkan hasil yang amat baik.
"Pada peringkat awal pelaksanaan program linus, ramai ibu bapa yang tidak memahami program ini dan risau. Tetapi, sekarang kita menerima maklum balas yang baik dengan ada yang mengatakan anak-anak mereka sudah pandai membaca," katanya.
0 comments:
Post a Comment