Hari Malaysia - Tahniah Malaysia


TANGGAL 16 September tahun ini, usia Malaysia sebenarnya baharu mencecah 46 tahun. Tarikh ini pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30 ribu rakyat jelata.

Penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat oleh Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas, melancarkan konfrantasi ketenteraan di bawah slogan "Ganyang Malaysia" yang berlanjutan sehingga tahun 1966.

Filipina pula menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei yang turut termasuk dalam rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaannya setelah berdepan dengan pemberontakan besar-besaran di Brunei oleh Sheikh Azhari pada penghujung 1962.

Sekalipun begitu, akhirnya pada 9 Julai 1963, Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya setelah Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 ke 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh tersebut pula ditangguhkan setelah Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia. Dan akhirnya 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan.

Kini, setelah 46 tahun Malaysia ditubuhkan, pelbagai kemajuan dapat dilihat dari pelbagai aspek bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik dan sosial malah hubungan antarabangsa dengan negara-negara jiran terbabit juga telah pulih.
Seharusnya, keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi sejak sekian lama wajar dipelihara dan dikekalkan agar dapat terus dikecapi oleh generasi akan datang.

"SELAMAT HARI MALAYSIA"
Share on Google Plus

About AZMAN2020

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment